Mari Letak Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bubur Lambuk Lyn Munir

Terkenang sewaktu aku kecil dulu....., bila tiba bulan Ramadan dan menjelang waktu berbuka,surau di kampung aku selalu buat gotong royong masak bubur lambuk. Bubur yang sudah siap dimasak ini kemudiannya di bahagi-bahagikan kepada ' penanggah ' yang datang menolong, orang-orang miskin kampung, dan sesiapa saja yang teringinkan bubur lambuk tu. Bezanya bubur lambuk di kampung kami tidak dibungkus dalam pelastik seperti sekarang. Sebaliknya masing-masing kena bawa bekas sendiri dari rumah untuk mengisi bubur lambuk tu. Nasib la kalau bekas korang kecik. Setoit le yang kau dapat. Kalau mangkuk yang dibawa besar., banyak le yang boleh di bawa balik.
Tapi ada juga yang datang bawak besin yang saiznya dua kali mangkok besar. Tidak le pulak kena sindir oleh tukang masak . Tapi esoknya faham-faham lah sendiri. Kalau nak ambik dengan besin lagi jawabnya kena suruh anak lah pulak yang datang ambik. Budak tau apa...betul tak ?





Aku memang sentiasa menunggu waktu pembahagian bubur lambuk. Wangi bau masakkannya sudah cukup membuat aku rasa tak sabar untuk berbuka puasa. Biasanya aku dengan selamba tadah dua mangkuk bersaiz sedang untuk diisi dengan bubur lambuk. Emmm...sedap !
Bila dah besar dan merantau ke KL , tinggal di sini baru aku tau ada perbezaan antara bubur lambuk Pantai Timur dan bubur lambuk Johor. Bubur lambuk Pantai Timur di bubuh isi ikan, pucuk meding dan segala ulam-ulaman. Sedangkan bubur lambuk Johor tiada isi ikan,pucuk meding dan segala bagai ulaman tu. Bubur lambuk Kampung Baru pulak di tambah dengan segala bahan penumis yang lain seperti kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih dan pelaga malah ia perlu ditumis ! Itulah kepelbagai suku kaum dan negeri memperkayakan lagi khazanah resepi bubur lambuk di negara ini. Kalau orang belah Pantai Timur dah pasti taksub dengan bubur lambuk resepi dari sana. Sedang orang dari Johor kalau bubur lambuk Pantai Timur tak boleh masuk tekak sebab ada pucuk meding dalam bahannya. Pucuk meding atau pun pucuk pakis merah memang sedap bila dimasak tumis berkuah. Tapi kalau dimasukan ke dalam bubur lambuk akan membuat bubur tu rasa berlendir. Err...ini pendapat peribadi aku la. ( Lain orang lain seleranya ).

Tak kisahlah tu semua. Apa yang nak dikongsikan di sini  adalah bubur lambuk Lyn Munir. Nak tahu sedap tak sedap boleh cuba sendiri. Jom kita tengok apa bahan-bahannya :-

2 1/2 @ 3 cawan beras ( ikut suka mu lah )
Halia 2 - 3 inci ( Halia dan bawang putih ni bagus diletak untuk hilangkan hanyir dan mewangikan masakan )
Bawang putih 3 - 4 ulas yang sedang.
Lada hitam 2 bungkus ( yang berharga rm 0.50 setiap sebungkus )
Udang kering 2 bungkus
Santan pekat 2 mangkok besar
Daging atau pun ayam yang di potong kecil-kecil atau di hiris nipis.
Kacang hijau dihiris sederhana tebal ( ala hiris macam nak buat nasi goreng kampung tu )
Kiub pati ayam / kiub pati lembu 1 biji
Daun bawang dan daun sop dihiris halus untuk hiasan dan pembangkit bau
Bawang goreng sebagai pembangkit bau dan pembangkit selera.

Cara-caranya :

Sukatan beras tadi dicuci bersih . Lepas tu isikan semula air dalam periuk beras sehingga setengah periuk.
Tumbukkan lada hitam hingga lumat ( masukkan ke dalam periuk )
Udang kering tu ditumbuk pecah-pecah ( humbankan juga ke dalam periuk...hehehe )
Halia dan bawang putih tu pun tumbuk pecah-pecah  ( Lagi sekali campakkan  ke dalam periuk )
Masukan hirisan daging atau potongan ayam tu sekali. ( Senang gila engkau ! )
*** Ini yang paling aku suka masak bubur lambuk ni. Semua bahannya serba campak jer ! Tak ada langsung  bahan nak kena tumis. Senang kan ? Sure orang tak pandai masak pun boleh buat.

Habis semua bahan yang kena campak ke periuk tu dah sudah, jerangkan jer. Sementara menanti beras yang dijerang tu menjadi bubur...boleh la korang habiskan masa dengan mengemas rumah ke atau buat aja lah apa yang patut. Janji jangan buang masa.

Bila beras tu dah mengembang menjadi bubur, tuangkan pulak semua santan pekat tadi. Tahap kepekatan bubur ni bergantung kesesuaiannya dengan tekak korangla dik. Kalau rasa terlalu pekat cairkan sikit. Sebab bila bubur ni dah sejuk nanti dia tetap pekat juga ! So tambahlah air lagi barang 2/3 cawan. Lepas tu masukkan ler kiub pati lembu atau pati ayam sebiji atau boleh juga guna yang serbuk. Kalau nak guna yang serbuk masukan ler barang 1 sudu kecik. Letak garam...biasanya aku letak 2 sudu kecik. Memang ngam-ngam dah rasanya. Kalau suka aji-no-moto boleh renjis sikit. Kalau tak mau pun tak apa. Ikut suka kau lah Timah ooi.

Biasanya masak bubur lambuk ni dalam 1 jam setengah je dah beres. Sebab tu lah kalau nak masukan daging.., hirisannya biarlah sederhana nipis. Buang segala urat bagai kat daging tu. Tapi kalau masukan daging ayam lagi cepat dia empuk. Bila dah masak tu matikan apinya. Bila api dah dimatikan baru kita tuangkan hirisan kacang panjang. Bubur tu akan ada rasa  crunchy sikit. Yummy doo. Kemudian ceduk ke dalam mangkuk tu....letakkan hirisan daun bawang yang dicampur  dengan daun sop dan letakkan sedikit bawang goreng ke atas bubur tu. Bau harumnya serta merta membuka selera. Dijamin sedap, lemak dan berkhasiat.Sepatah kata anak aku, ' rasanya sungguh lasat lagi berkarbonat !'.  Eehh..jangan buka dulu. Tunggu azan haa.

                       Ni bukan bubur lambuk yang aku masak sebaliknya dari
                                       http://rizq-kitchen.fotopages.com

 ( Tapi rupanya lebih kurang cam ni lah bila dah siap dimasak ). Trylah resepi tu. Lepas tu bagi tahu aku apa rasanya..AMACAM BERANI CUBA ????    
                                               
                 JOM JOIN ASIAFAN.NET
Get Paid To Promote, Get Paid To Popup, Get Paid Display Banner