MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA adalah pepatah melayu yang sinonim dengan kita.Nabi juga pernah berpesan didiklah anak-anak mengikut zamannya dan bukan mengikut ' zaman kita pernah dididik'. " Setiap bayi yang lahir itu adalah seperti kain putih dan ibu bapanya lah yang mencorakkan samada bayi itu menjadi Majusi atau pun Nasara ."
Sungguh, menjadi ibu bapa adalah penghargaan dan amanah dari Allah yang bukan saja membahagiakan tetapi juga melaksanakan amanah itu sendiri tidaklah mudah.
Saya memang bukan seorang ibu yang terbaik tapi selama ini saya telah mengajar perkara-perkara baik kepada anak-anak saya. Perkara pertama yang saya ajarkan kepada anak-anak sedari kecil adalah tentang kebersihan dan penjagaan diri. Saya masih ingat 2 orang dari mereka terpaksa saya kepit dan berlawan dengan mereka dibilik mandi semata-mata anak yang berdua ini susah nak memberus gigi. Sekali, dua kali, tiga kali....akhirnya saya geram dan terpaksa membaringkan mereka di lantai bilik air, mengepitnya macam nak bergusti atau macam bagi makan ubat dan menyental gigi mereka sehingga putih. Sejak itu anak-anak saya yang liat memberus gigi akan memberus gigi mereka dengan rela sebelum saya baringkan mereka dilantai bilik air.
Saya memang tidak ditakdirkan bekerja sebagai guru walaupun aruah bapak suka kalau saya menjadi cikgu.
Saya memilih bekerja mengikut bidang yang saya minati. Tetapi saya terpaksa menjadi guru kepada anak-anak saya di rumah. Saya masih ingat 17 tahun dahulu saya terpaksa mengajar mereka membaca ( anak-anak saya yang ketika itu berusia 5 tahun dan 6 tahun ) di hadapan pintu bilik air sedang saya sendiri memberus baju. Saya paksa mereka ambik buku dan pencil untuk menulis suku kata dan patah-patah perkataan yang telah saja ajarkan dan mereka mesti menulisnya di kertas masing-masing. Kenapa saya kena ajar anak-anak saya sendiri ? Kerana waktu itu ekonomi keluarga saya sangat merosot dan saya tidak mampu menghantar anak-anak ke tadika. Dan method saya senang, mereka perlu menghafal by hard kalau tak mahu pipi mereka kena cucuk dengan pencungkil gigi. Ada kalanya mereka menangis tersedu-sedu bila saya cucuk peha atau pipi mereka dengan pencungkil gigi. Sakit. Tapi faedahnya mereka mampu menghafal dengan cepat ( sebab tak mahu sakit ) dan seterusnya kerja saya sebagai ' cikgu' lebih mudah kerana murid-murid saya berjaya membaca menulis dan membaca dengan lancar tidak sampai 4 bulan melalui ' tuisyen' yang saya jalankan.
Walaupun kelas tuisyen saya nampak sadis namun kini setelah 17 tahun berlalu anak-anak saya mengakui cara ini paling berkesan, malah memudahkan dan mempercepat mereka menghafal sifir, menbaca tulisan jawi malah membaca buku dan mengenal baris-baris atau tanda-tanda bacaan mukadam.
Saya memang bukan seorang ustazah tapi saya berbangga bila dapat mengajar huruf pertama mukadam dan mengenal huruf jawi dan bacaannya kepada anak-anak saya sendiri. Method yang sama, lembut, sederhana, garang dan cucuk dengan pencukil gigi atau kadang-kadang rotan ala-ala manja. Anak-anak memang terpaksa belajar stail ' crash course ' sebab saya tidak suka memanjangkan tempoh tuisyen. Hasilnya alhamdulilah anak-anak saya celik jawi dan lancar membacanya sejak umur 7 tahun lagi. Saya hanya menghantar mereka mengaji Quran kepada guru-guru yang sepatutnya bila mereka sudah berpindah ke surah-surah besar. Kenapa ? Kerana saya sendiri tidak berapa fasih dalam tajuid dan biarlah mereka belajar dari guru yang selayaknya. Kadang-kadang saya malu bercampur bangga bila Daniel yang berusia 9 tahun itu mampu menegur kesalahan tajuid yang saya lakukan bila saya sedang mengaji . Alhamdulilah. Saya hantar mereka untuk belajar fardu ain dan dalam masa yang sama saya paksa mereka buat praktikal solat di hadapan saya di rumah.
Saya bangga bila akhirnya mereka dapat menghafal Al-fatihah, bacaan qunut, duduk antara dua sujud, tahiyat awal dan akhir dengan betul di hadapan saya.
Saya mengamalkan prinsip terbuka. Menggabungkan amalan timur dan barat ( sebahagian nilai positifnya ) dalam kehidupan saya sekeluarga. Saya ajar mereka memahami sesuatu situasi dengan hati yang terbuka. Belajar menganalisis keadaan hidup berkeluarga. Tidak memihak samada kepada ayah atau pun ibu bila wujudnya pertelingkahan suami isteri. Anak-anak mestilah mempunyai sikap berkecuali bila membabitkan tentang perkara ini. Alhamdulilah, sehingga hari ini walau ribut taufan melanda mereka masih anak-anak patuh dan menghormati kami seperti garis panduan yang telah saya gariskan untuk mereka. Saya ajarkan mereka menerima tanggung jawab sejak mereka kecil lagi. Yang lelaki tanggungjawab sebagai
' bakal wali', yang perempuan tanggungjawab pengurus rumah tangga. Sehingga hari ini saya masih sangat terhutang budi kepada anak sulung saya Nurfarah Assheqen kerana telah berjaya menguruskan adik-adiknya dengan baik sewaktu ketiadaan saya bekerja yang tidak tentu masa seawal usianya 10 tahun. Kerana dia bersekolah di sebelah petang, dia akan memastikan kain yang saya basuh dijemur, adiknya yang berusia 7 tahun pergi sekolah pagi, yang 6 tahun pergi sekolah tadika disamping menjaga adiknya berusia 5 dan 3 tahun di rumah sementara menanti sesi persekolahannya di sebelah petang. Menginjak usianya 11 tahun, dia tidak pernah kekok menyalinkan lampin adik, membasuh berak dan memandikan adiknya yang kecil .
Saya telah mengajarkan anak-anak sikap bertoleransi sesama sendiri. Berkerjasaama dan saling menyayangi sesama adik-beradik kerana ' blood is thicker than water '. Melupakan perselisihan faham dan memaafkan sesama sendiri malah meringankan lidah untuk meminta maaf bila sedar diri telah membuat kesalahan. Memohon ampun hanya kepada Allah, meminta maaf kepada ibu bapa , pada adik beradik mahunpun manusia yang telah kita lukakan hatinya.
Seperti mana yang aruah bapak saya yang sangat memuliakan tetamu, itulah juga yang saya ajarkan kepada anak-anak, ( kerana setiap tetamu itu datang bersama rezekinya masing-masing ). Hanya cabaran terlalu hebat kerana anak-anak hari ini tidak seperti dahulu lagi. Anak-anak dahulu tak berani melangut bersama sewaktu orang tua menerima tetamu. Anak sekarang sekali-sekala tetap meyampuk percakapan orang tua walau pun tanpa diundang. Dan saya ajarkan kepada anak-anak untuk bersangka baik kepada sesama manusia.
Saya memang blues, saya memang rock tapi saya tetap mahukan anak-anak memelihara amalan timur kita. Menghormati orang-orang tua dan berbudi bahasa dalam kehidupan seharian. Saya mengajar mereka untuk berdikari dan menjadi 'survivor ' dalam dunia yang semakin mencabar ini. Saya mengajar mereka berniaga dari kecil. Farouk dan Hafizul ( di usia 10 tahun dan 11 tahun ) melalui pengalaman menjual ' bahulu gulung' dari rumah ke rumah dan saya membayar keringat mereka sebanyak RM 2 secara tunai setiap kali selepas jualan. Sering saya ingatkan, saya tidak mampu memberi mereka ' ikan' terus-terusan tapi saya masih boleh mengajar mereka ' mengail ikan ', agar mereka tidak mati kelaparan bila saya sudah tiada nanti. Farah mendapat lebihan RM 15 setiap minggu untuk belanja sekolah tapi dia mesti mengosok pakaian saya dan suami, pakaian adik bungsunya malah pakaiannya sendiri. Semua upah itu dibayar tunai kerana 'nothing is free in the world '. Kerana hidup ini tidak semudah yang kita sangkakan dan tidak seindah yang kita impikan. Perinsip pertama jangan sesekali memijak kepala orang lain untuk naik ke atas dan berusahakan menggunakan merit sendiri bukan bersandarkan kekuatan
' sesuatu contact '.
Saya memang bukan seorang motivator tapi saya telah mengajarkan mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh sebelum menyerahkannya kepada Allah dengan bertawakal. Kerana itu saya selalu berpesan dengan mereka andainya mereka gagal selepas bersungguh-sunguh belajar, maka saya terima ketentuan itu sebagai tahap kemampuan dan pencapaian mereka. Tapi bukan dengan cara yang sebaliknya. Kerana itu saya selalu menetapkan ' benchmark keputusan periksa penggal ' tidak boleh lebih dari no 6 dalam setiap peperiksaan. Lebih dari no 6, saya rotan ikut bilangan nombor yang mereka dapat. Kalau dapat 10 bererti 10 kali rotan. Kalau dapat 17 bererti 17 kali rotan dan begitulah yang seterusnya. Tidak .., saya tidak merotan mereka di badan sebaliknya saya arahkan mereka duduk melunjur kaki di lantai dan merotan tapak kaki mereka mengikut bilangan nombor yang mereka dapat. Kalau ada subjek yang mereka tidak lulus mereka akan dapat 2 kali ganda dari nilai sebatan. Semua anak-anak saya pernah merasa pengalaman ini termasuk Daniel. Biasanya selepas sign buku rekod di sekolah tanpa perlu saya ingatkan mereka yang berkenaan berlari naik atas ke bilik, mencari sehelai tuala untuk digigit di mulut ( bagi menahan bunyi jeritan ) dan ditangan mereka sudah standby sebotol minyak gamat. Saya akan benarkan mereka gosok dulu tapak kaki mereka dengan minyak gamat sebelum saya menjatuhkan hukuman.
Kenapa mesti rotan di tapak kaki dan tidak di lengan atau betis ? Rotan di lengan atau betis bukan hanya akan menimbulkan parut di badan sebaliknya juga menerbitkan rasa marah dan benci kepada si tukang rotan. Sebaliknya mengikut kajian, merotan di telapak kaki menghidupkan semula sel-sel saraf yang ada di tapak kaki untuk lebih berfungsi dengan lebih baik lagi. So nampak gayanya tak ada masaalah lah kalau saya rotan tapak kaki mereka . Kaki yang diangkat sehingga membuatkan rotan saya tidak menyentuh ke dua-dua bahagian tapak kaki akan menyebabkan hukuman diulang kembali. Jadi biasanya mereka memang tidak akan berani menggelat .
Saya memang bukan ibu yang terbaik kerana sehingga hari ini yang masih kalah bila berperang dengan gajet-gajet canggih yang anak-anak saya miliki. Saya berharap satu hari nanti semua gajet dan handphone canggih itu dapat saya kutip, simpan atau sorokkan ...atau mungkin lebih baik dibuang terus.
Kenapa ? Kerana kadang-kadang saya lelah untuk terus memeriksa apa yang ada di dalam handphone mereka. Kerana saya bosan melihat wayar bersambung di telinga sedang mereka asyik melayan lagu walau mata tetap membaca buku. Kadang saya benci mendengar talipon mereka berbunyi dan kawan anak saya kemudiannya datang untuk sama-sama mentelaah sambil minum teh atau melepak di restoran mamak. Saya marah bila kawan-kawan anak saya kerap mengajak anak saya untuk bermain futsal sedang tahun ini Farouk ada peperiksaan besar. Malah saya juga berharap anak saya dapat dihantar ke kem-kem motivasi yang tempatnya di ceruk pendalaman agar mereka lebih menginsafi keadaan dan mengenal jati diri.
Ya Allah, saya memang bukan ibu yang baik walaupun saya telah mengajarkan anak-anak saya perkara yang baik dalam hidup mereka.
No comments:
Post a Comment